KEPENTINGAN TAHALUF SIASI

Dalam suasana tanah air kini yang mempunyai lambakan isu amat menuntut kita untuk lebih berhemah dalam membuat penilaian. Isu-isu yang ditimbulkan semakin rumit dan sering menimbulkan keraguan yang ternyata menguji sejauh mana tahap kefahaman. Di sinilah pentingnya kita mengenali suatu isu itu adakah ia benar-benar isu ataupun ia hanyalah symptom di sebalik isu yang timbul. Membuat pembezaan dan pengasingan ini tidak boleh ditaakul melalui kefahaman akal sahaja tanpa kajian dan pembacaan menyeluruh terhadap ruang lingkup persekitaran dan rujukan. Kegagalan membuat penilaian inilah yang akan membentuk keputusan dan tindakan kita. Untungnya jika benar. Bagaimana jika kita tersilap? Itu tandanya kita telah terperangkap dan menjadi mangsa strategis atau tawanan perang saraf. Semua ini sememangnya jarang dapat dijangka dengan tepat kerana dunia strategi penuh dengan tipu muslihat dan taktik. Dan….kerana kondisi inilah tidak kurang daripada kita menolak politik dengan alasan politik itu kotor.
Bagi pendokong Islam mereka memahami jika dasar perjuangan adalah kerana Islam, segala kepincangan, kelemahan, permasalahan dan ujian itu semua adalah tarbiyah daripada Allah dan pasti ada jalan, ruang dan peluang untuk memperbaiki keadaan tersebut. Berbeza dengan dasar perjuangan kerana kekufuran, sesuatu isu biasanya akan lebih merosakkan lagi kumpulan dan gerakan tersebut. Begitu juga dengan kemenangan. Jika menang gerakan Islam itu, ia adalah pertolongan Allah. Jika menangnya kumpulan pejuang kekufuran ia hanyalah istidraj. Apatah lagi dalam dunia politik yang diistilahkan oleh Rasulullah sebagai ‘peperangan itu tipu daya’ pasti banyak perkara yang kadang-kadang para pendokong Islam sendiri terkeliru dan berselisih dan golongan lawan lazimnya akan mengambil kesempatan untuk memanipulasi isu tersebut. Di sinilah yang ditekankan agar kita dapat membezakan mana satu isu, masalah atau ia mungkin hanya satu provokasi dalam propaganda perang saraf. Maka, alangkah malang dan tidak berbaloinya menjadi ghanimah perang saraf!
RUANG KETERBUKAAN ISLAM : TAHALLUF SIASI
Antara ciri-ciri Islam adalah manhajnya bersifat syumul berdasarkan al-Quran, sunnah, qias dan ijma’ seperti yang disepakati. Fleksibelnya Islam, ia tidak pernah meninggalkan sejuzuk pun elemen hidup manusia dari sekecil-kecil perkara sejak manusia bangun dari tidur hinggalah ia tidur semula. Jika perkara sekecil ini Islam ada menggariskan dan menyusun tertibnya, maka adakah bisa diterima akal dalam urusan menyusun dan mentadbir negara tidak disentuh oleh Islam? Betapa pincangnya fahaman dengan meletakkan tanggungjawab hidup harian di pundak Islam tetapi di sisi lain menghalalkan konsep sekularisma. Syumulnya Islam adalah bukti bahawa Islam benar-benar membawa rahmat ke seluruh alam tanpa mengira siapa jua makhluk dan manusia sama ada Islam atau kuffar. Persoalannya.. bagaimana golongan kuffar boleh merasa nikmat dan rahmat daripada Islam? Salah satunya adalah melalui politik Islam melalui kaedah seperti apa yang disebut sebagai tahalluf siasi.
Dalam ruangan yang sangat terhad ini mustahil bagi penulis untuk membentangkan secara menyeluruh akan perbahasan tahalluf siasi. Maka, saya mengambil pendekatan untuk membentangkan perkara asas sahaja. Secara umumnya, tahalluf bermaksud suatu perjanjian persefahaman untuk bekerjasama dan bantu membantu untuk menghadapi lawan. Ia boleh terjadi melalui beberapa situasi iaitu pertama, berlaku antara kumpulan Islam. Kedua, berlaku dengan golongan bukan Islam. Ketiga, ia berlaku antara sesama golongan jahiliyyah. Dari segi kaedah hukum, ia diizinkan syara’ apabila melengkapi syarat-syarat yang boleh dilaksanakan tahalluf dan bukan ketika mana tahalluf tidak diizinkan.
Syarat-Syarat Tahalluf Siasi
Syarat Pertama : Membawa Maslahah dan Tidak Mengikat Sehingga Menjejaskan Prinsip
1. Hubungan Rasulullah dengan keluarga dari kalangan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib khasnya Abu Tolib walaupun mereka tidak Islam tetapi mereka mempertahankan Rasulullah. Tetapi apabila Abu Tolib cuba memujuk Rasulullah dengan tawaran golongan bangsawan quraisy agar baginda bertolak ansur, maka dengan tegas baginda bersabda dengan sabdanya yang masyhur :
“Wahai bapa saudaraku. Demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya ataupun aku mati kerananya”. Suatu kerjasama antara Rasulullah dengan Abu Talib bukan Islam.
2. Hubungan Abu Bakar dengan Ibn Dugnah yang sedia memberi perlindungan kepadanya terpaksa dibatalkan apabila Ibn Dugnah mensyaratkan Abu Bakar agar jangan membaca al-Quran di luar rumah kerana boleh mempengaruhi orang lain.
Maslahah yang Diizinkan
Ke Arah Kedaulatan Islam dan Perlaksanaan Syariat
Apabila semakin ramai orang Islam yang terjebak dengan pelbagai ideologi asing (seumpama sekularisme, komunisme, sosialisme), dan ketika itu pula kedapatan kumpulan bukan Islam yang sanggup memberikan laluan kepada perlaksanaan Islam untuk mencantas ideologi asing ini. Maka hubungan dengan kumpulan ini boleh dibuat dalam konteks berkerjasama ketika berpilihanraya, persidangan dewan dan seumpamanya dengan syarat mereka bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaannya dengan sepenuhnya. Pada masa yang sama kita tidak memaksa mereka untuk menganut Islam tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka.
Ini berlandaskan kepada dalil Pembentukan Piagam Madinah dengan puak muhajirin Quraish dan puak Yahudi yang bermastautin di Madinah. Dalam konteks Piagam Madinah ini disebut bahawa Rasulullah telah sanggup mengorbankan dua perkara kecil (tetapi besar pada pandangan kita dan orang yang tidak memahami) yang turut tidak dipersetujui oleh dua sahabat besar baginda iaitu Saidina Umar dan Saidina Ali iaitu:- Menghilangkan perkataan Bismillah pada permulaan isi perjanjian piagam iniMenghilangkan perkataan Muhammad Rasulullah sesudah Muhammad dan diganti dengan hanya Muhammad bin Abdullah sahaja.
Apapun penghapusan ini tidak menjejaskan isi kandungan asas Piagam Madinah (terdapat 47 fasal dan peraturan) yakni menuntut agar semua puak Muhajirin Quraisy dan 12 Kabilah Yahudi yang berada di Madinah ketika itu untuk bernaung di bawah pentadbiran dan pemerintahan yang ditunjangi oleh Rasulullah.
Menentang Kezaliman, Penyelewengan dan Keruntuhan MoralDalilnya ialah persetujuan Rasulullah terhadap Persefahaman Pakatan Menentang Kezaliman Semasa Zaman Jahiliyah seperti sabda Rasulullah: “Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi”
Syarat Kedua : Mengakui Kepimpinan Islam dan Tidak Menjejaskan Matlamat Perjuangan
1. Rasulullah menangguhkan Tahalluf dengan puak Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama menegakkan negara Islam dan mempertahankannya apabila menerima ancaman musuh di mana Bani Syaiban menyatakan mereka tidak sanggup menghadapi Parsi tetapi sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja jika berlaku peperangan ketika Piagam Madinah dibentuk.Rasulullah membatalkan cadangan untuk Tahalluf dengan Bani Amar apabila mereka mahu bekongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islamnya dalam Piagam Madinah.
Syarat Ketiga : Tidak Berwala’ Kepada Musuh dan Tidak Redha dengan Pakatan Mereka Mengakui dengan kepimpinan orang bukan Islam dan bertahalluf dengan musuh Islam untuk memerangi orang Islam. Firman Allah:-
“Janganlah orang yang beriman itu mengambil orang kafir sebagai wali dengan meninggalkan orang yang beriman. Barangsiapa yang berbuat demikian maka lepas dia dari Allah, melainkan kerana memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka dan Allah memperingatkan kamu terhadap dirinya (siksanya) dan hanya kepada Allah kembalimu”
Berwali bermakna menjadikannya sebagai pemimpin, teman akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu dilahirkan secara zahir tetapi hatinya tidak redha disamping berusaha untuk membinasakan diri dengan merancang bagi meneruskan perjuangan dengan hijrah dan sebagainya.
Isti’anah (Meminta Bantuan atau Pertolongan)
Apabila adanya persefahaman maka berlakulah tolong menolong yakni mereka berjanji untuk menolong kita dan kita juga berjanji untuk menolong mereka dalam perkara yang diizinkan syarak tanpa mengorbankan prinsip dan dasar Islam.
Mereka Menolong Kita
Menurut As-Syeikh Syed Sabiq dalam Fiqus Sunnah – Harus menerima pertolongan orang-orang fasik dan munafik kerana Rasulullah membenarkan Abdullah bin Ubai menyertai peperangan bersama-samanya dan kisah penyertaan Abu Mahjan yang mabuk dalam peperangan menentang Quraisyh. Adapun pertolongan dari orang kafir, terdapat khilaf di kalangan fuqaha’:-
1. Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharuskannya secara mutlak. Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang Islam yang mengusai urusannnya.
2. Imam Syafei mengharuskannya dengan dua syarat:-
2.1 Apabila orang Islam dalam keadaan lemah
2.2 Apabila didapati orang bukan Islam itu cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya. Dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukan bahagian ghanimah (harta rampasan perang)
Kita Menolong Mereka
Menurut Syahrusi dalam kitab al-Mabsut dan Syeibani dalam kitab al-syairul kabir, Rasulullah menghantar Tamar Ajwad kepada Abu Sufyan dan mengutus lima ratus dinar ke Mekah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Mekah dilanda kemarau.Menurut Ibnu Qaim al Jawazih dalam kitab Ziadul Ma’ad, apabila Samamah bin ‘Asal, seorang pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau telah memerintah supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Mekah sehingga Mekah berada dalam kesempitan hidup. Berikutan itu pimpinan Musyrikin Mekah mengutus wakil untuk merayu kepada Rasulullah supaya menasihati Samamah agar menghentikan sekatan tersebut dan ini dilaksanakan.
KESIMPULAN

Tahalluf itu boleh dibahagikan menurut keadaan berikut:-
1. Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:-
Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam
Mengiktiraf negara Islam
Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya
2. Tanpa Membentuk Negara:-
Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang besar
Maslahah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan membebaskan orang tahanan tanpa diadili dan seumpamanya
Berlindung sementara di masa lemah
Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan harakah Islamiyah (gerakan Islam)
Berdasarkan konsep asas tahalluf siayasi yang dibentangkan, kita melihat bagaimana bijaksananya Rasulullah dalam menangani golongan bukan Islam tetapi dalam masa yang sama matlamat syiar Islam tetap dipertahan walaupun secara zahirnya nampak mengenepikan Islam seperti dalam peristiwa pembentukan Piagam Madinah. Namun, natijahnya dapat kita lihat bagaimana kefahaman Islam dapat disebarkan, golongan bukan Islam semakin berani mendekati Islam, hatta semakin ramai pula yang memeluk Islam tanpa sebarang ancaman. Dan, kemuncaknya ia membawa kepada Fathul Makkah sehingga terbentuknya Khilafah Islamiyah yang pertama dalam sejarah peradaban manusia. Inilah bukti Islam itu pembawa rahmat kepada semua makhluk sama ada Islam atau tidak. Dan sebagai pendokong gerakan Islam setiap ruang dan peluang mesti diambil untuk menjadi medan namun, tanpa mengorbankan prinsip Islam sebagai gadaian. Namun, bukan pula bermakna Islam ini mendokong kefahaman Michavelli iaitu ‘matlamat menghalalkan cara’. Kerana konsepnya, selagi mana ruang dan peluang tersedia untuk kepentingan Islam, ia akan menjadi medan tanpa mengorbankan prinsip Islam sebagai gadaian. ‘Berprinsip jangan jumud, terbuka jangan hanyut’.
Maka, perkara pertama kita kena faham ialah politik itu sifatnya dharuri. Politik Islam itu adalah ruang dan peluang. Kaedah-kaedah dalam politik Islam itu sebagai garis panduan dan guideline. Tinggal lagi, kita perlu membuat penilaian semula dan perbandingan dengan kaedah yang digunakan pada hari ini. Almarhum Ustaz Fadhil pernah berkata bahawa cara tahalluf siasi yang dibawa oleh gerakan Islam PAS sedang diperhati oleh seluruh gerakan Islam di muka bumi ini. Perkara ini kerana PAS adalah gerakan Islam yang pertama bertahalluf dengan non-muslim dalam usaha menegakkan negara Islam. Dalam kata lain tahalluf siasi yang digunakan di Malaysia ini masih dalam percubaan.
“Manusia melihat apa yang dia mahu lihat dan siapa dirinya menentukan bagaimana dia melihat”. Dalam kita melihat sesuatu perkara, kita kena menyedari bahawa kitalah yang menentukan apa yang kita lihat. Kitalah sebenarnya yang menentukan sama ada ia adalah sebenarnya isu ataupun symptom isu dan adakah ia benar-benar isu yang boleh diketengahkan. Apatah lagi kewujudan media hari ini menuntut kita lebih berhati-hati untuk mengambil ia sebagai sumber dalil. Semua ini memerlukan kepada ketajaman pemerhatian, kewarasan dan rasional dalam membuat pertimbangan yang akan membentuk pemahaman dan menjadi satu kesimpulan seterusnya akan diterjemahkan dalam bentuk keputusan sehingga di akhirnya adalah tindakan dan pelaksanaan. Tinggal lagi perkara yang kita perlu ambil perhatian ialah sikap buru-buru dan emosi agar tidak menjadi mekanisma proses ini yang boleh menatijahkan mafsadah dan khalal. Di sinilah pentingnya kita perlu mengusai isu-isu dasar.

خلق الإنسان من عجل
Meletakkan amaran al-Quran dan Hadits sebagai guideline terhadap diri sendiri adalah jalan terbaik sebagai peringatan agar kita tidak terjerumus dalam sempadan fitnah. SIKAP, MENTALITI atau cara kita berfikir mesti diolah dengan baik. Jangan mudah melatah dan terus menghukum sebaliknya perlu MENGKAJI dan BERTANYA. Tidak kira isu itu betul atau tidak. Kita perlu membuat penilaian. Mata, kadang salah menilai, mulut kadang salah berbicara kerana dunia lebih banyak yang indah khabar dari rupa.
إذا جاءكم فاسق بينكم فتبينوا اللهم فقهنا فى الدين وعلمنا تأويل واهدنا إلى صراط المستقيم
Sumber : Manhaj Daurah TadribiyahKertas Kerja Menguasai Isu Dasar Dalam Pilihanraya, Memahami Hukum Tahalluf As Siasi (syiria)

0 comments:

Post a Comment